DIA sukar untuk menyatakan cinta. Seolah-olah ucapan keramat itu, bila diucapkan, bakal menjadi beban. Bakal menjerut batang lehernya sendiri. Pengalaman lalu yang pahitnya masih lagi terasa juga menjadi punca mengapa dia menjauhkan diri daripada didekati cinta. Kalau boleh, dia mahu terus hidup sendiri. Tidak mahu berlindung di bawah payung hati lelaki yang teduhnya mungkin sementara sahaja.
Namun, sejak terpandang senyuman manis Airy, hatinya bermukim di laman rindu. Ada debar membara di dada.dia sendiri tidak mengerti, entah hantu mana yang sudah menyampuk dirinya. Siang terpandang, malam terbayang. Asyik terkenang-kenang.
Sanggupkah dia menjadikan kebahagiaan hatinya satu taruhan lagi? Dia sendiri tidak pasti. Mampukah dia bertahan jika sekali lagi hatinya dilukai? Dia tidak tahu. Menyemai kasih tanpa benih di ladang dan tidak bertanah umpama mencari air yang tidak bergaram di tengah lautan. Bukan sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan keajaiban.
Gila. Memang betul, cinta membuatkan manusia jadi gila. Jatuh cinta umpama jiwa yang dimahkotakan. Semuanya indah-indah belaka. Jatuh cinta juga ibarat ditiup semangat satria muda. Sang Pencinta rela berkorban demi yang tercinta, malah sanggup berjuang memerdekakan gelora jiwa. Semuanya bermula dengan senyuman di petang sabtu itu.

No comments:
Post a Comment