Saturday, 3 September 2011

:: JIKA BENAR CINTA :: ~2


JAM menunjukkan pukul 1.00 petang. Rina sudahpun datang dan mengetuk-ngetuk mejanya. Lisa segera mengemaskan fail yang sedang dipegangnya. Arif benar dengan sikap Rina yang tidak suka berlengah. Rina adalah teman ketawa dan Rina jugalah teman menangisnya. Antara mereka saling memerlukan.
            Tidak dinafikan, adakalanya mereka juga bertikam lidah. Dua-dua tidak mahu kalah. Namun, selepas beberapa jam apabila kedua-duanya sudah tenang dan dapat berfikir dengan waras, kata-kata maaf diucapkan dengan ikhlas. Masing-masing tahu tanggungjawab yang harus dipikul dalam menjalin persahabatan. Mesti boleh member dan menerima. Hasilnya, hubungan mereka semakin erat dan tidak lekang dek panas atau lapuk dek hujan.
            Adakalanya, Kamal, tunang Rina pun hairan. Kalau dia menegur Rina tentang sesuatu perkara yang tidak disukai, alamatnya muncunglah Rina seminggu. Tapi sebaliknya, jika Lisa yang member nasihat, Rina dengan mudah menerima. Kerana itu jugalah, adakalanya Kamal merujuk kepada Lisa tentang apa-apa isu yang hendak dibangkitkan. Lisa dan Rina beriringan menuju ke Restoran Selera Kita yang terletak berhadapan dengan pejabat mereka. Restoran yang dipunyai oleh Pak Mat dan Mak Siah itu menyajikan makanan kampung yang sememangnya amat digemari oleh mereka berdua.
            “Assalamualaikum, Pak Mat,” sapa Lisa dengan mesra.
            Hubungan baik sudah lama terjalin antara mereka, malah Pak Mat dan Mak Siah selalu mengatakan mahu mengambil mereka sebagai menantu. Kagum Lisa dengan pasangan itu. Berjaya menyekolahkan kelima-lima anaknya hingga ke tangga menara dengan hasil jualan mereka itu. Daripada sebuah warung kecil, kini sudah menjadi sebuah restoran. Satu perkembangan yang amat membanggakan.
            “Waalaikumussalam. Oh menantu pak cik sudah sampai. Jemputlah masuk. Hari ini Mak siah kamu ada masak kepala ikan merah masak pedas. Ulam-ulam pun banyak. Segar-segar,” jawab Pak Mat dengan ramah. Seperti biasa senyuman tidak pernah lekang daripada bibir lelaki tua itu.
            “Ikan terubuk bakar ada tak, Pak Mat?” tanya Rina sambil menjengah lauk-pauk yang terhidang. Walaupun banyak tulang, ikan terubuk mempunyai isi yang lemak dan enak. Terliur memikirkan sedapnya ikan terubuk apabila dicecahkan dengan air asam.
            Kadang-kadang, Lisa pelik dengan sikap Rina. Lauk yang diambil dua jenis saja, tetapi selalu mengeluh tiada lauk yang menepati selera. Padahal, ada lebih tiga puluh jenis masakan yang disediakan oleh Pak Mat. Manusia apabila terlalu banyak pilihan, akhirnya ditimpa kekeliruan.
            “Hmm… Rina ni mengidam, Pak Mat. Karang kempunan anak dia.”  Sengaja Lisa mengenakan Rina.
            “Oh, dah berisi rupanya. Dapatlah Pak Mat cucu sedara, ya.” Pak Mat pula mengacau Rina sambil mengenyitkan mata kepada Lisa. Tanda kompromi.
            “Hisy, Pak Mat ni! Percayalah cakap Lisa tu. Pelamin tak sedia, kompang tak berbunyi, kepala saya pulak yang putus ditetak ayah nanti,” bela Rina.
Terbayang di ruang matanya, wajah garang ayah. Tengok misainya yang tebal saja sudah menggigil seluruh badan. Ayah Rina seorang askar pencen yang amat mementingkan disiplin. Emak pula guru disiplin di sekolah berasrama penuh.
            Pernah semasa umurnya tujuh tahun, dia mencari minum selepas pulang dari sekolah. Cuaca panas terik membuatkan dia tewas, walaupun sudah berjanji untuk puasa penuh pada hari itu. Akibatnya, dia terpaksa menadah tangan bila emak sudah bercekak pinggang memegang rotan. Namun, dia bersyukur sejak hari itu, dia tidak pernah ponteng puasa.
            “Hai, apa pulak pelamin dan kompang ni, ada orang nak belanja nasi minyak ke?” Tiba-tiba Mak Siah muncul dari arah dapur.
            “Alamak! Mak Siah, Pak Mat dengan Lisa ni satu kapal betullah. Asyik menyakat saya aje.” Rina pura-pura merajuk. Dalam merajuk, tangannya sibuk memilih lauk!
            “Ah, sudahlah! Jemput makan dulu. Nanti orang bertambah ramai, tak dapat tempat duduk pulak.” Pak Mat cuba menenangkan suasana. Bibir mereka masih lagi tidak lekang dari senyuman.
            Melihatkan ada beberapa pelanggan lain yang sedang memasuki ruang restoran, segera Pak Mat berlalu dan menyambut kedatangan mereka. Mungkin kerana ramah mesra Pak Mat dan Mak Siah yang menarik minat pelanggan untuk tetap setia berkunjung ke restoran milik mereka.

PETANG itu sebaik sahaja selepas makan tengah hari Lisa menghubungi Encik Hazriq seperti mana yang disarankan oleh Encik Ridwan. Malangnya, setiausaha Encik Hazriq memberitahu yang ketuanya itu terpaksa pulang awal hari ini. Ada majlis keluarga yang perlu dihadirinya.
            ‘Hmm... Bagus jugak,’ bisik hati Lisa. Sekurang-kurangnya bolehla dia mengkaji terlebih dahulu perubahan yang telah dibincangkan pagi tadi. Telefon di sisi bordering.
            “Hai, mummy,” jawab Lisa dengan ceria.
            “Lisa, malam ni jangan lupa, pukul 8.00 ada kenduri kat rumah Auntie Zarina. Auntie dah pesan, jangan melarikan diri. Pakai baju kurung yang dia belikan dulu, okey!” pesan mummy setelah menjawab salam.
            “Kenduri apa ni, mummy?” Lisa bertanya dengan manja.
            “Astagfirullahalazim, dah banyak kali mummy cakap. Ni kan jamuan ulangtahun perkahwinan Auntie Zarina yang ke-30. Entah-entah anniversary mummy pun Lisa lupa?” Mummy sudah memulakan syarahannya. Lisa terpaksa menjarakkan telefon dari telinganya. Berdesing telinga apabila ditegur oleh mummy. Salah cakap, Inilah akibatnya.
                        “Hisy, mummy ni! Mummy lah orang paling penting dalam hidup Lisa. Takkan lah Lisa boleh lupa. Anyway, thanks mummy, saying mummy!” Lisa cuba mengambil hati. Harap-harap sejuk hati mummynya dengan pujian itu.
            “Okey, jumpa malam nanti. Jangan lewat ya” ujar mummy Sebelum meletakkan gagang telefon.
            Perangai anak daranya yang sentiasa sibuk dalam membina kerjaya adakalanya memeningkan Zakiah sendiri. Hendak ditegur pun Zakiah masih bersyukur. Yalah, setidak-tidaknya, dia tahu anak daranya yang seorang itu bila sibuk dengan kerja sudah tiada masa untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat. Maklumlah, hidup di tengah kota yang besar ini. Penuh dengan daya tarikan. Penuh dengan penipuan. Kita jujur, orang lain tidak! Zakiah segera mengemaskan barangan untuk dibawanya ke majlis ulangtahun perkahwinan rakan baiknya itu.

No comments:

Post a Comment