“CIL LISA, panggilan telefon
daripada Encik Hazriq dari Top Network.” Kedengaran suara Maria di intercom.
“Okey, sambungkan.” balas Lisa.
“Hai, Encik Hazriq. Lisa di sini. Jawab Lisa dengan
sopan.
“Hai, Cik Lisa. Saya dah terima draf terbaru bagi projek
usahasama kita. Cik Lisa free petang ni? Around 3.00 pm? Ada
beberapa usulan yang perlu dibincangkan.” Lembur suara lelaki itu menyusun
kata.
“Hmm… maafkan saya, Encik Hazriq. Saya ada temu janji dengan
kontraktor petang ni. Boleh kita jumpa esok pagi?” Lisa menjawab setelah
melihat jadual kerjanya yang padat.
“Esok pagi pulak saya kena ke JB selama dua hari untuk
projek di sana. Macam tak ada jodoh pulak kita ni, ya? Semalam awak telefon
saya, saya dah balik. Pagi ni saya telefon awak, awak dalam meeting. Nak
jumpa, ada saja aral.” Balas Hazriq
sambil ketawa kecil.
“Encik Hazriq…”
“Tak payahlah berencik-encik dengan saya, Lisa. Boleh
saya panggil Lisa saja?” Hazriq memotong kata-kata Lisa.
Terdiam Lisa dibuatnya. Terkedu seketika. Fikirannya
begitu lambat hendak mencerna jawapan yang bersesuaian untuk diucapkan kepada
lelaki bersuara gemersik itu.
“Lisa? You dah tidur ke dengar I bercakap. Sampai hati
you.” Sekali lagi suara Hazriq tertawa kedengaran di corong telefon. Mesra
sungguh lelaki ini.
“Hmm… belum lagi tertidur, tapi hampir-hampir terlena.”
Giliran Lisa pula mengenakan Hazriq. Sekadar berjenaka.
“Oh, pandai juga Lisa bergurau ya. Okeylah Lisa. Can I
see you on Thursday?
“Okey. I datang pejabat you pukul 11.00 pagi.” Lisa
mengaturkan temu janji setelah menyelak-nyelak book planner yang ada di
depan mata.
“Apa kata kita jumpa di Tria Lounge at Champion Hotel?
Boleh kita buat lunch date! Opss, lunch business date!” Hazriq
bergurau lagi.
“Okey. Bye… Hazriq.” Lisa cepat-cepat meletakkan
gagang. ‘Lelaki, lelaki… kalau tak menggatal, tak sah.’ Lisa berbicara di dalam
hati. Selagi tidak mengganggu urusan kerja, Lisa tidak pernah mengambil kisah
setiap usikan klien. Kerja tetap kerja!
PETANG itu selepas sahaja
berjumpa dengan kontraktor, Lisa terus pulang ke rumah. Selepas memberi salam,
Lisa terus membaringkan diri di atas sofa di ruang tamu. Penat sungguh rasanya.
Projek yang datang bertimbun-timbun membuatkannya tidak senang duduk.
Sudah lama betul dia tidak bercuti. Melapangkan fikiran.
Usahkan melancong ke luar negara, cuti-cuti Malaysia pun sukar untuk dilakukan.
Nasib baiklah hidup sendiri. Kalau sudah bersuami, silap-silap suami lari lima
hari pun dia masih tidak sedar lagi. Mungkin benar juga yang didakwa oleh
sesetengah pihak, kaum wanita bila bekerja terlalu teliti hingga cukup
merimaskan kaum lelaki.
“Dah balik anak mummy?” suara mummy jelas kedengaran.
“Kalau ada magik senang kan, mummy?” Lisa pula
melontarkan soalan. Tangannya memeluk bantal kecil dengan erat. Soalan mummy
dibiarkan tidak berjawab.
“Nak buat apa dengan magik? Lisa nak bagi mummy bangle
besar atau permata seberat 2 kilo?”
jawab mummy sambil melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan dengan
Lisa. Terasa belas melihat dahi anak perempuannya yang berkerut. Wajahnya pula
nampak begitu letih sekali. Pasti banyak projek yang perlu diuruskan.
Lisa tertawa kecil. “Lisa nak pergi cuti ke Paris, Lisa
nak naik Star Cruise, Lisa nak main salji di Pergunungan Alps, Lisa nak dengan
The Corrs nyanyi live di Ireland, Lisa nak… Banyaknya yang Lisa nak!”
Lisa pula mentertawakan dirinya sendiri. Malu memikirkan ketamakan dirinya.
“Ni yang nak macam-macam ni, asar dah sembahyang ke
belum?” sindir mummy sekadar mengingatkan.
“He.. he… Belum,” Lisa tersenyum simpul. Mummy
sememangnya tegas dalam mengingatkan anak-anaknya tentang agama. Mummy tidak
mahu anaknya lupa diri dan hanyut dalam arus kehidupan di kota besar.
“Apa kata, daripada barangan nak dapatkan magik, Lisa
pergi sembahyang dulu. Kemudian, berdoa minta dimurahkan rezeki. Lepas tu,
bolehlah anak mummy yang cantik molek ni pergi bercuti. Kalau tak ke Paris, weekend
ni mummy bawa ke Parit.”
Lisa ketawa mendengarkan cadangan mummy. Mummy lah insane
yang selalu ada di sisi waktu susah mahupun senang. Selalu menjadi pelindung
dan melimpahkan kasih saying yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anaknya.
Hubungan mereka sememangnya rapat. Lebih-lebih lagi dengan ketiadaan abang long
yang kini menetap di New York. Abang long terus bekerja di sana setelah
menamatkan pelajaran. Pengajian yang cemerlang dalam bidang senibina telah
membantunya mendapatkan pekerjaan di salah sebuah syarikat yang terkemuka di
New York. Selain itu, dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin sebelum pulang
ke Malaysia.
Setelah mandi dan menunaikan rukun islam yang kedua, Lisa
merehatkan dirinya di atas katil. Dicapainya novel Inggeris penulis
kegemarannya, Nora Roberts. Minat atau kegilaan Lisa terhadap novel-novel sama
ada Melayu atau Inggeris bermula semenjak usianya berbelas tahun lagi.
Entah berapa buah ratus buah buku yang sudah dibacanya,
dia sendiri tidak pasti. Daripada novel siri penyiasatan Lima Sekawan ke novel
Mills & Boon, minat membaca tidak pernah padam. Di samping novel-novel,
Lisa juga gemar membeli buku motivasi untuk meningkatkan kemajuan diri.
Buku, ‘Chicken Soup for The Soul,’ berbaris di rak
almarinya. Ada ilmu yang boleh kita ambil melalui pembacaan. Selain meluaskan
pengetahuan, pembacaan juga mematangkan fikiran. Membolehkan kita menyelami
hati manusia dan melihat bagaimana harus kita bertindak jika situasi tersebut
kita yang mengalaminya.
Walau sesibuk mana pun Lisa, dia pasti meluangkan masa
untuk membaca. Baginya, membaca umpama satu ‘escapism’. Membolehkannya
menjelajah ke seluruh pelosok dunia. Dia mungkin berada di Malaysia, tetapi
bila membaca novel Nora Roberts, dia seperti menjejakkan kakinya di Ireland.
Bila buku habis dibaca, terasa diri tidak sabar untuk memulakan pembacaan yang
baru. Umpama lari ke langit, setelah penat passri pulang ke titik permulaan.
Tetapi perjalanan tetap diteruskan.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan. Mak Jah yang
sudah lebih 20 tahun menjadi pembantu rumah, datang membawa segelas air sirap
limau. Terkedek-kedek Mak Jah yang bertubuh rending itu meletakkan miniman ke
atas meja.
“Laa… tak payahlah susah-susah, Mak Jah. Kalau saya nak
minum, saya boleh ambil sendiri.” Kasihan memikirkan Mak Jah yang terpaksa naik
turun tangga semata-mata hendak menghantar segelas air sirap limau untuk dirinya.
“Mak Jah kesian Tengok Lisa. Akhir-akhir ni asyik penat
aje. Ni kira magiklah, Lisa. Lisa tak minta air, tapi air datang pada Lisa,”
sambut Mak Jah sambil tersenyum.
Demi Lisa, gadis yang dibela sejak kecil lagi, apa-apa
pun sanggup dilakukannya. Anak gadis ini amat disayangi. Adakala anaknya
sendiri mengeluh apabila nama Lisa tidak pernah jemu-jemu diulang apabila
sesekali ke rumah anak-anaknya.
“Oh, Mak Jah pun sama macam mummy, nak ketawakan Lisa
ya.” Lisa memasamkan mukanya tanda merajuk.
Setelah ketawa kecil, Mak Jah pun bersuara. “Mummy Lisa
pesan, nanti turun makan malam., Auntie Zarina datang dengan Uncle Khairul.”
“Tentu Mak Jah masak special hari ni! Sedapnya.”
“Hai, tak tahu menu pun dah kata sedap!” ujar Mak Jah.
Anak gadis ini memang senang menjaga makan-minumnya.
Tidak cerewat, malah tidak pernah menganggapnya sebagai orang gaji. Lisa
menganggapnya sebagai ahli keluarganya juga. Kerana itulah hatinya keberatan
untuk meninggalkan keluarga ini. Sudah terlalu mesra. Suatu hari nanti, jika
dia terpaksa beredar dari sini, pasti dia akan terasa kehilangan yang teramat.
Rindu juga pasti bercambah.
“Mak Jah kan pemenang Iron Chef siri yang ke-25! Semua
yang Mak Jah masak, standing dengan makanan diraja.”
“Raja mana, Lisa? Raja Gopal ke?” ujar Mak Jah yang
sememangnya tahu sikap Lisa yang suka bergurau itu.
“Raja Gopal pun raja juga Mak Jah! Bolehlah daripada tak
ada.” Lisa masih tidak habis-habis hendak mengenakan Mak Jah.
Mak Jah hanya mampu menggeleng melihat telatah Lisa.
“Apa-apalah, Lisa. Mak Jah turun dulu. Jangan tak turun pulak? Mengamuk mummy
nanti,” ingat Mak Jah lagi.
“Okey, nanti saya tolong Mak Jah. Terima kasih untuk air
magik ni.” Lisa terus bangun untuk mengambil air yang dibawa oleh Mak Jah tadi.
No comments:
Post a Comment