Saturday, 10 September 2011

♥ khas buat kaum Adam ♥ -hehe- :)


Seorang lelaki jika dia kesakitan, maka dia akan membenci. Sebaliknya wanita, saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya,, Seandainya Hawa diciptakan dari Adam As saat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari sulbinya, hingga dia membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan sakit dan tidak membenci Hawa. Sementara seorang wanita akan melahirkan dalam keadaan terjaga, melihat kematian dihadapannya, namun semakin sayang dan cinta nya kepada anak yang dilahirkan bahkan ia akan menebus nya dengan kehidupannya. 
Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk yang bengkok yang tugasnya adalah melindungi Qalbu(jantung, hati nurani). Oleh karena itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Kemudian Allah menjadikan nya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Sementara Adam diciptakan dari tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dan tukang kayu. Wanita selalu berinteraksi dengan perasaaan, dengan hati, dan wanita akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang saudari yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang istri yang penurut. Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, seperti yang dikabarkan oleh Nabi Muhammad SAW, “jika seorang lelaki meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya.” Maksud nya adalah dengan kebengkokan tersebut adalah perasaan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang laki-laki. 
Maka wahai Adam janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu. Apabila seseorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitikkan airmata, itu berarti dia sedang menangis di dalam hatinya. Apabila dia tidak menghiraukan kamu setelah kamu menyakiti hatinya, lebih baik beri dia waktu untuk menenangkan hatinya sebelum kamu meminta maaf. Dan wanita sulit untuk mencari sesuatu yang dia benci untuk orang yang paling dia sayang ,,,,

Untukmu Gadis Yang Meningkat Remaja |

Untukmu Gadis Yang Meningkat Remaja | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Ahmad Izzah Dan Adolf Roberto |

Ahmad Izzah Dan Adolf Roberto | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Kenapa Aku Masih Solo?

Kenapa Aku Masih Solo? | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Bila Hidayah Menyapaku |

Bila Hidayah Menyapaku | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Saturday, 3 September 2011

:: JIKA BENAR CINTA :: ~4


“CIL LISA, panggilan telefon daripada Encik Hazriq dari Top Network.” Kedengaran suara Maria di intercom.
            “Okey, sambungkan.” balas Lisa.
            “Hai, Encik Hazriq. Lisa di sini. Jawab Lisa dengan sopan.
            “Hai, Cik Lisa. Saya dah terima draf terbaru bagi projek usahasama kita. Cik Lisa free petang ni? Around 3.00 pm? Ada beberapa usulan yang perlu dibincangkan.” Lembur suara lelaki itu menyusun kata.
            “Hmm… maafkan saya, Encik Hazriq. Saya ada temu janji dengan kontraktor petang ni. Boleh kita jumpa esok pagi?” Lisa menjawab setelah melihat jadual kerjanya yang padat.
            “Esok pagi pulak saya kena ke JB selama dua hari untuk projek di sana. Macam tak ada jodoh pulak kita ni, ya? Semalam awak telefon saya, saya dah balik. Pagi ni saya telefon awak, awak dalam meeting. Nak jumpa, ada saja aral.”  Balas Hazriq sambil ketawa kecil.
            “Encik Hazriq…”
            “Tak payahlah berencik-encik dengan saya, Lisa. Boleh saya panggil Lisa saja?” Hazriq memotong kata-kata Lisa.
            Terdiam Lisa dibuatnya. Terkedu seketika. Fikirannya begitu lambat hendak mencerna jawapan yang bersesuaian untuk diucapkan kepada lelaki bersuara gemersik itu.
            “Lisa? You dah tidur ke dengar I bercakap. Sampai hati you.” Sekali lagi suara Hazriq tertawa kedengaran di corong telefon. Mesra sungguh lelaki ini.
            “Hmm… belum lagi tertidur, tapi hampir-hampir terlena.” Giliran Lisa pula mengenakan Hazriq. Sekadar berjenaka.
            “Oh, pandai juga Lisa bergurau ya. Okeylah Lisa. Can I see you on Thursday?
            “Okey. I datang pejabat you pukul 11.00 pagi.” Lisa mengaturkan temu janji setelah menyelak-nyelak book planner yang ada di depan mata.
            “Apa kata kita jumpa di Tria Lounge at Champion Hotel? Boleh kita buat lunch date! Opss, lunch business date!” Hazriq bergurau lagi.
            “Okey. Bye… Hazriq.” Lisa cepat-cepat meletakkan gagang. ‘Lelaki, lelaki… kalau tak menggatal, tak sah.’ Lisa berbicara di dalam hati. Selagi tidak mengganggu urusan kerja, Lisa tidak pernah mengambil kisah setiap usikan klien. Kerja tetap kerja!


PETANG itu selepas sahaja berjumpa dengan kontraktor, Lisa terus pulang ke rumah. Selepas memberi salam, Lisa terus membaringkan diri di atas sofa di ruang tamu. Penat sungguh rasanya. Projek yang datang bertimbun-timbun membuatkannya tidak senang duduk.
            Sudah lama betul dia tidak bercuti. Melapangkan fikiran. Usahkan melancong ke luar negara, cuti-cuti Malaysia pun sukar untuk dilakukan. Nasib baiklah hidup sendiri. Kalau sudah bersuami, silap-silap suami lari lima hari pun dia masih tidak sedar lagi. Mungkin benar juga yang didakwa oleh sesetengah pihak, kaum wanita bila bekerja terlalu teliti hingga cukup merimaskan kaum lelaki.
            “Dah balik anak mummy?” suara mummy jelas kedengaran.
            “Kalau ada magik senang kan, mummy?” Lisa pula melontarkan soalan. Tangannya memeluk bantal kecil dengan erat. Soalan mummy dibiarkan tidak berjawab.
            “Nak buat apa dengan magik? Lisa nak bagi mummy bangle besar atau permata seberat 2 kilo?”  jawab mummy sambil melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan dengan Lisa. Terasa belas melihat dahi anak perempuannya yang berkerut. Wajahnya pula nampak begitu letih sekali. Pasti banyak projek yang perlu diuruskan.
            Lisa tertawa kecil. “Lisa nak pergi cuti ke Paris, Lisa nak naik Star Cruise, Lisa nak main salji di Pergunungan Alps, Lisa nak dengan The Corrs nyanyi live di Ireland, Lisa nak… Banyaknya yang Lisa nak!” Lisa pula mentertawakan dirinya sendiri. Malu memikirkan ketamakan dirinya.
            “Ni yang nak macam-macam ni, asar dah sembahyang ke belum?” sindir mummy sekadar mengingatkan.
            “He.. he… Belum,” Lisa tersenyum simpul. Mummy sememangnya tegas dalam mengingatkan anak-anaknya tentang agama. Mummy tidak mahu anaknya lupa diri dan hanyut dalam arus kehidupan di kota besar.
            “Apa kata, daripada barangan nak dapatkan magik, Lisa pergi sembahyang dulu. Kemudian, berdoa minta dimurahkan rezeki. Lepas tu, bolehlah anak mummy yang cantik molek ni pergi bercuti. Kalau tak ke Paris, weekend ni mummy bawa ke Parit.”
            Lisa ketawa mendengarkan cadangan mummy. Mummy lah insane yang selalu ada di sisi waktu susah mahupun senang. Selalu menjadi pelindung dan melimpahkan kasih saying yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anaknya. Hubungan mereka sememangnya rapat. Lebih-lebih lagi dengan ketiadaan abang long yang kini menetap di New York. Abang long terus bekerja di sana setelah menamatkan pelajaran. Pengajian yang cemerlang dalam bidang senibina telah membantunya mendapatkan pekerjaan di salah sebuah syarikat yang terkemuka di New York. Selain itu, dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin sebelum pulang ke Malaysia.
            Setelah mandi dan menunaikan rukun islam yang kedua, Lisa merehatkan dirinya di atas katil. Dicapainya novel Inggeris penulis kegemarannya, Nora Roberts. Minat atau kegilaan Lisa terhadap novel-novel sama ada Melayu atau Inggeris bermula semenjak usianya berbelas tahun lagi.
            Entah berapa buah ratus buah buku yang sudah dibacanya, dia sendiri tidak pasti. Daripada novel siri penyiasatan Lima Sekawan ke novel Mills & Boon, minat membaca tidak pernah padam. Di samping novel-novel, Lisa juga gemar membeli buku motivasi untuk meningkatkan kemajuan diri.
            Buku, ‘Chicken Soup for The Soul,’ berbaris di rak almarinya. Ada ilmu yang boleh kita ambil melalui pembacaan. Selain meluaskan pengetahuan, pembacaan juga mematangkan fikiran. Membolehkan kita menyelami hati manusia dan melihat bagaimana harus kita bertindak jika situasi tersebut kita yang mengalaminya.
            Walau sesibuk mana pun Lisa, dia pasti meluangkan masa untuk membaca. Baginya, membaca umpama satu ‘escapism’. Membolehkannya menjelajah ke seluruh pelosok dunia. Dia mungkin berada di Malaysia, tetapi bila membaca novel Nora Roberts, dia seperti menjejakkan kakinya di Ireland. Bila buku habis dibaca, terasa diri tidak sabar untuk memulakan pembacaan yang baru. Umpama lari ke langit, setelah penat passri pulang ke titik permulaan. Tetapi perjalanan tetap diteruskan.
            Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan. Mak Jah yang sudah lebih 20 tahun menjadi pembantu rumah, datang membawa segelas air sirap limau. Terkedek-kedek Mak Jah yang bertubuh rending itu meletakkan miniman ke atas meja.
            “Laa… tak payahlah susah-susah, Mak Jah. Kalau saya nak minum, saya boleh ambil sendiri.” Kasihan memikirkan Mak Jah yang terpaksa naik turun tangga semata-mata hendak menghantar segelas air sirap limau untuk dirinya.
            “Mak Jah kesian Tengok Lisa. Akhir-akhir ni asyik penat aje. Ni kira magiklah, Lisa. Lisa tak minta air, tapi air datang pada Lisa,” sambut Mak Jah sambil tersenyum.
            Demi Lisa, gadis yang dibela sejak kecil lagi, apa-apa pun sanggup dilakukannya. Anak gadis ini amat disayangi. Adakala anaknya sendiri mengeluh apabila nama Lisa tidak pernah jemu-jemu diulang apabila sesekali ke rumah anak-anaknya.
            “Oh, Mak Jah pun sama macam mummy, nak ketawakan Lisa ya.” Lisa memasamkan mukanya tanda merajuk.
            Setelah ketawa kecil, Mak Jah pun bersuara. “Mummy Lisa pesan, nanti turun makan malam., Auntie Zarina datang dengan Uncle Khairul.”
            “Tentu Mak Jah masak special hari ni! Sedapnya.”
            “Hai, tak tahu menu pun dah kata sedap!” ujar Mak Jah.
            Anak gadis ini memang senang menjaga makan-minumnya. Tidak cerewat, malah tidak pernah menganggapnya sebagai orang gaji. Lisa menganggapnya sebagai ahli keluarganya juga. Kerana itulah hatinya keberatan untuk meninggalkan keluarga ini. Sudah terlalu mesra. Suatu hari nanti, jika dia terpaksa beredar dari sini, pasti dia akan terasa kehilangan yang teramat. Rindu juga pasti bercambah.
            “Mak Jah kan pemenang Iron Chef siri yang ke-25! Semua yang Mak Jah masak, standing dengan makanan diraja.”
            “Raja mana, Lisa? Raja Gopal ke?” ujar Mak Jah yang sememangnya tahu sikap Lisa yang suka bergurau itu.
            “Raja Gopal pun raja juga Mak Jah! Bolehlah daripada tak ada.” Lisa masih tidak habis-habis hendak mengenakan Mak Jah.
            Mak Jah hanya mampu menggeleng melihat telatah Lisa. “Apa-apalah, Lisa. Mak Jah turun dulu. Jangan tak turun pulak? Mengamuk mummy nanti,” ingat Mak Jah lagi.
            “Okey, nanti saya tolong Mak Jah. Terima kasih untuk air magik ni.” Lisa terus bangun untuk mengambil air yang dibawa oleh Mak Jah tadi.

:: JIKA BENAR CINTA :: ~3


PETANG itu Lisa cepat-cepat bersiap untuk ke rumah Auntie Zarina yang merupakan kawan baik mummynya sejak zaman persekolahan lagi. Nasib baik rumah Auntie Zarina hanya di belakang taman perumahan mereka. Tidak perlulah dia mengambil masa yang lama untuk sampai. Dia hanya menyapu nipis bedak dan mencalit sedikit gincu. Dicapai Tudung yang senada warna dengan baju kurung yang dipakainya. Biru muda. Nampak tenang dan sejuk mata memandang.
            Ditatap wajahnya seketika di cermin. Matanya yang bulat dan bulu matanya yang lentik sering menjadi usikan teman-teman. Macam pelakon Hindustan. Lesung pipitnya yang ada hanya sebelah kiri,menambahkan kemanisan wajah Lisa. Dia memang tidak suka berhias, cukuolah ala kadar dan bersesuaian dengan majlis. Bersolek lebih-lebih nanti kalah pulak opera Cina. Lisa tersenyum sendiri.
            Jam sudah menunjukkan pukul 8.00 malam ketika dia memarkirkan keretanya di hadapan rumah Auntie Zarina. Banyak juga kereta yang berada di halaman rumah itu. Sudah lama juga dia tidak berkunjung ke rumah Auntie Zarina. Kesibukan kerja membatasi ruang hidup sosialnya. Mujurlah abah dan mummy memahami sikapnya yang mementingkan kerjaya.
            “Asslamualaikum.”
            Terkejut Lisa dibuatnya. Sepatutnya orang yang berkunjung harus member salam, tetapi ini tidak. Orang di rumah pulak terlebih dahulu menghulurkan salam.
            “Waalaikumussalam.”
            “Jemputlah masuk.” Pemuda berbaju teluk belanga itu memandangnya sambil tersenyum
            “Terima kasih,” balas Lisa segan.
            Selama ini, dia tidak pernah melihat wajah lelaki tersebut. Wajahnya bukanlah terlalu tampan, tetapi tenang. Menarik. Nampak begitu sopan dan matang. Mungkin dalam lingkungan usia 30-an. Sempat juga dia melihat seraut wajah lelaki tersebut walaupun sekilas sahaja.
            Lisa terus menuju ke dapur.
            “Hai, dah sampai pun anak dara kau, Zakiah.” Jelas suara Auntie Zarina kedengaran.
            Lisa terus bersalam dengan tetamu yang sampai terdahulu daripadanya. Tanda hormat sesama manusia.
            “Apa khabar, Auntie? Tahniah. Lisa doakan Auntie hidup bahagia,” ucap Lisa sambil mencium pipi Auntie Zarina yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.
            “Alhamdulillah. Duduklah dahulu. Majlis dah nak bermula.”
            Lisa terus mengambil tempat di sebelah mummynya. Bacaan imam masjid mula kedengaran. Doa kesyukuran dibaca. Suara mengaminkan doa sungguh indah didengar. Bacaan Al-Quran selalu memberikan ketenangan kepada pembacanya. Tidak mungkin ada nada ciptaan manusia yang seindah alunan bacaan Al-Quran. Begitu unik dan menusuk kalbu.
            Setelah doa dibaca, tetamu pun beralih ke tempat hidangan buffet yang telh disediakan.harum bau masakan menusuk hidung apabila penutup bekas dibuka. Auntie Zarina menyediakan ikan kering masak lemak cili api bersama nenas, sambal tumis udang dan petai, kari daging, ikan patin masak tempoyak , kerabu mangga dan pelbagai jenis ulaman.
            Menu yang jarang disediakan jika membuat jamuan kesyukuran, tetapi berdasarkan seronoknya tetamu menjamu selera, suadah tentu menu ini lebih memuaskan daripada steak dan lamb chop. Menu sudah dibincangkan antara mummy dengan Auntie Zarina seminggu Sebelum majlis. Biasanya makanan orang kampung menyelerakan orang bandar. Sedapnya, memang tidak dapat dinafikan. Disediakan juga kuih-muih sebagai pencuci mulut bersama buah-buahan.
            Sambil mengisi perut, mata Lisa sempat merayap. Mencari-cari kelibat lelaki yang menegurnya tadi. Kelihatan lelaki itu juga sedang menjamu selera. Duduk berhampiran Uncle Khairul, suami Auntie Zarina. Abah pun kelihatan mesra berbual dengan lelaki itu.
            ‘Siapa pulak dia ni?’ soal Lisa dalam hati. Nak kata anak Auntie Zarina dan Uncle Khairul, tidak mungkin. Anak mereka hanya ada seorang sahaja. Maisara yang kini sedang sibuk terbang di awan biru bertugas sebagai pramugari. Maisara memang jarang ada di rumah. Kerap kali ke luar negara, untuk memenuhi tuntutan tugas.
            Kerana itu jugalah Auntie Zarina selalu makan hati dengan sikap anaknya yang sukar dibentuk. Auntie Zarina selalu kata, mungkin juga ini adalah salah mereka yang terlalu manjakan anak. Hinggakan sudah tidak boleh dikawal. Umpama buluh, jika dilentur, patahlah jawabnya.
            Auntie Zarina selalu menyatakan betapa beruntungnya mummy kerana Lisa adalah anak yang mendengar kata. Sedikit keras kepala, tetapi amat menghormati orang tua dan tidak membelakangkan keluarga ketika membuat keputusan. Selalu membuat ibu bapanya tersenyum bangga dengan kejayaan yang dicapai. Baik dari segi pelajaran ataupun kerjaya.
            Sambil memasang telinga mendengar perbualan antara mummy dengan Auntie Zarina, mata Lisa tetap menyorot pada abah, Uncle Khairul dan lelaki muda itu. Rasa pelik tumbuh dalam hati Lisa. Tetamu semuanya sudah pulang, tetapi pemuda itu masih lagi duduk berbual. ‘Mesti saudara terdekat’ bisik hati Lisa. Jika tidak, tidak mungkin dia masih di situ manakala tetamu jemputan lain sudah pulang.
            “Lisa! Lisa!” Mummy memanggilnya.
“Hisy, mummy ni! Kenapa menjerit-jerit ni? Nasib baik Lisa tak sakit jantung, kalau tidak…” balas Lisa sambil tersenyum sipu. Takut perbuatannya memerhati lelaki muda itu tadi dapat dikesan oleh mummynya.
“Mummy Tanya, Lisa nak tidur sini ke?” Tanya mummy sambil tersenyum.
“Jarak rumah tak sampai sejengkal, mummy. Mengacau auntie dan uncle nak berbulan madu aje,” jawab Lisa dengan nada mengusik. Keningnya sengaja diangkat.
“Amboi, Lisa. Mengenakan auntie pulak dia. Kamu tu, bilalah lagi nak naik pelamin.” Auntie Zarina membalas usikan Lisa. Bahu anak gadis itu dipeluknya mesra.
“Saya akan naik pelamin, auntie. Insya-ALLAH. Sebelum musin luruh, selepas musim bunga nanti auntie,” jawab Lisa sambil ketawa.
“Tapi ni Malaysia ni ada dua musim aje.” Tiba-tiba lelaki misteri yang berad di beranda sudah berdiri di sampingnya. Turut sama memberikan pendapat.
“Musim apa pulak tu Aiman?” Tanya Uncle Khairul dengan penuh minat. Semakin ramai pula yang turut berkumpul. Lisa menahan rasa malu yang makin memerah di pipi.
“Musim panas dengan musim hujan aje, uncle.” Jawab Aiman dengan bersahaja. Deraian ketawa pun kedengaran, memenuhi ruang tamu.
Lisa hanya terdiam sahaja sambil mengutuk dirinya sendiri yang tersasul bercerita tentang soal perkahwinan. Pandangannya segera dialaihkan kepada pembantu rumah Auntie Zarina yang kelihatan sibuk mengarahkan beberapa orang anak muda yang diupah untuk membersihkan pinggan mangkuk yang digunakan.
“Hmm… kalau macam tu Auntie tak setuju,” bidas Auntie Zarina. “Malaysia ada banyak musimlah, Aiman. Ada musim durian, musim cuti sekolah, musim carnival membeli-belah.” Sekali lagi gelak tawa menghiasi rumah bangle yang berada di puncak bukit itu.
“Alahai… melayan kamu semua, alamatnya tak baliklah kita.” Abah pula bersuara. Di tanagn abah, kunci kereta sudah dipegang. Tanda abah sudah sedia mahu pulang.
“Jom, kita beransur dulu.” Mummy pula mengajak mereka pulang.
Lisa hanya tersenyum sedangkan hatinya meronta-ronta mahu diperkenalkan dengan lelaki yang dipanggil Aiman itu. Hairan juga, mengapa mereka tidak memperkenalkan mereka berdua? Kemesraan Aiman dengan mummy dan abah juga menghairankan. Pelik. Selama 27 tahun dia hidup di dunia ini, nama Aiman tidak pernah diperbualkan. Tiba-tiba saja hari ini Aiman muncul.
‘Jodoh? Gila aku ni agaknya.’ Bisik hati Lisa ketika memandu pulang. ‘Jatuh cinta pandang pertama? Ah, mana wujud lagi dalam Dunia materialistic ni.’ Tiba-tiba Lisa ketawa sendirian. ‘Aiman sekilas pun tak pandang aku. Aku pulak yang pening kepala memikirkan siapa dia.’ Lisa ketawa sendiri memikirkan kebodohan dirinya.

:: JIKA BENAR CINTA :: ~2


JAM menunjukkan pukul 1.00 petang. Rina sudahpun datang dan mengetuk-ngetuk mejanya. Lisa segera mengemaskan fail yang sedang dipegangnya. Arif benar dengan sikap Rina yang tidak suka berlengah. Rina adalah teman ketawa dan Rina jugalah teman menangisnya. Antara mereka saling memerlukan.
            Tidak dinafikan, adakalanya mereka juga bertikam lidah. Dua-dua tidak mahu kalah. Namun, selepas beberapa jam apabila kedua-duanya sudah tenang dan dapat berfikir dengan waras, kata-kata maaf diucapkan dengan ikhlas. Masing-masing tahu tanggungjawab yang harus dipikul dalam menjalin persahabatan. Mesti boleh member dan menerima. Hasilnya, hubungan mereka semakin erat dan tidak lekang dek panas atau lapuk dek hujan.
            Adakalanya, Kamal, tunang Rina pun hairan. Kalau dia menegur Rina tentang sesuatu perkara yang tidak disukai, alamatnya muncunglah Rina seminggu. Tapi sebaliknya, jika Lisa yang member nasihat, Rina dengan mudah menerima. Kerana itu jugalah, adakalanya Kamal merujuk kepada Lisa tentang apa-apa isu yang hendak dibangkitkan. Lisa dan Rina beriringan menuju ke Restoran Selera Kita yang terletak berhadapan dengan pejabat mereka. Restoran yang dipunyai oleh Pak Mat dan Mak Siah itu menyajikan makanan kampung yang sememangnya amat digemari oleh mereka berdua.
            “Assalamualaikum, Pak Mat,” sapa Lisa dengan mesra.
            Hubungan baik sudah lama terjalin antara mereka, malah Pak Mat dan Mak Siah selalu mengatakan mahu mengambil mereka sebagai menantu. Kagum Lisa dengan pasangan itu. Berjaya menyekolahkan kelima-lima anaknya hingga ke tangga menara dengan hasil jualan mereka itu. Daripada sebuah warung kecil, kini sudah menjadi sebuah restoran. Satu perkembangan yang amat membanggakan.
            “Waalaikumussalam. Oh menantu pak cik sudah sampai. Jemputlah masuk. Hari ini Mak siah kamu ada masak kepala ikan merah masak pedas. Ulam-ulam pun banyak. Segar-segar,” jawab Pak Mat dengan ramah. Seperti biasa senyuman tidak pernah lekang daripada bibir lelaki tua itu.
            “Ikan terubuk bakar ada tak, Pak Mat?” tanya Rina sambil menjengah lauk-pauk yang terhidang. Walaupun banyak tulang, ikan terubuk mempunyai isi yang lemak dan enak. Terliur memikirkan sedapnya ikan terubuk apabila dicecahkan dengan air asam.
            Kadang-kadang, Lisa pelik dengan sikap Rina. Lauk yang diambil dua jenis saja, tetapi selalu mengeluh tiada lauk yang menepati selera. Padahal, ada lebih tiga puluh jenis masakan yang disediakan oleh Pak Mat. Manusia apabila terlalu banyak pilihan, akhirnya ditimpa kekeliruan.
            “Hmm… Rina ni mengidam, Pak Mat. Karang kempunan anak dia.”  Sengaja Lisa mengenakan Rina.
            “Oh, dah berisi rupanya. Dapatlah Pak Mat cucu sedara, ya.” Pak Mat pula mengacau Rina sambil mengenyitkan mata kepada Lisa. Tanda kompromi.
            “Hisy, Pak Mat ni! Percayalah cakap Lisa tu. Pelamin tak sedia, kompang tak berbunyi, kepala saya pulak yang putus ditetak ayah nanti,” bela Rina.
Terbayang di ruang matanya, wajah garang ayah. Tengok misainya yang tebal saja sudah menggigil seluruh badan. Ayah Rina seorang askar pencen yang amat mementingkan disiplin. Emak pula guru disiplin di sekolah berasrama penuh.
            Pernah semasa umurnya tujuh tahun, dia mencari minum selepas pulang dari sekolah. Cuaca panas terik membuatkan dia tewas, walaupun sudah berjanji untuk puasa penuh pada hari itu. Akibatnya, dia terpaksa menadah tangan bila emak sudah bercekak pinggang memegang rotan. Namun, dia bersyukur sejak hari itu, dia tidak pernah ponteng puasa.
            “Hai, apa pulak pelamin dan kompang ni, ada orang nak belanja nasi minyak ke?” Tiba-tiba Mak Siah muncul dari arah dapur.
            “Alamak! Mak Siah, Pak Mat dengan Lisa ni satu kapal betullah. Asyik menyakat saya aje.” Rina pura-pura merajuk. Dalam merajuk, tangannya sibuk memilih lauk!
            “Ah, sudahlah! Jemput makan dulu. Nanti orang bertambah ramai, tak dapat tempat duduk pulak.” Pak Mat cuba menenangkan suasana. Bibir mereka masih lagi tidak lekang dari senyuman.
            Melihatkan ada beberapa pelanggan lain yang sedang memasuki ruang restoran, segera Pak Mat berlalu dan menyambut kedatangan mereka. Mungkin kerana ramah mesra Pak Mat dan Mak Siah yang menarik minat pelanggan untuk tetap setia berkunjung ke restoran milik mereka.

PETANG itu sebaik sahaja selepas makan tengah hari Lisa menghubungi Encik Hazriq seperti mana yang disarankan oleh Encik Ridwan. Malangnya, setiausaha Encik Hazriq memberitahu yang ketuanya itu terpaksa pulang awal hari ini. Ada majlis keluarga yang perlu dihadirinya.
            ‘Hmm... Bagus jugak,’ bisik hati Lisa. Sekurang-kurangnya bolehla dia mengkaji terlebih dahulu perubahan yang telah dibincangkan pagi tadi. Telefon di sisi bordering.
            “Hai, mummy,” jawab Lisa dengan ceria.
            “Lisa, malam ni jangan lupa, pukul 8.00 ada kenduri kat rumah Auntie Zarina. Auntie dah pesan, jangan melarikan diri. Pakai baju kurung yang dia belikan dulu, okey!” pesan mummy setelah menjawab salam.
            “Kenduri apa ni, mummy?” Lisa bertanya dengan manja.
            “Astagfirullahalazim, dah banyak kali mummy cakap. Ni kan jamuan ulangtahun perkahwinan Auntie Zarina yang ke-30. Entah-entah anniversary mummy pun Lisa lupa?” Mummy sudah memulakan syarahannya. Lisa terpaksa menjarakkan telefon dari telinganya. Berdesing telinga apabila ditegur oleh mummy. Salah cakap, Inilah akibatnya.
                        “Hisy, mummy ni! Mummy lah orang paling penting dalam hidup Lisa. Takkan lah Lisa boleh lupa. Anyway, thanks mummy, saying mummy!” Lisa cuba mengambil hati. Harap-harap sejuk hati mummynya dengan pujian itu.
            “Okey, jumpa malam nanti. Jangan lewat ya” ujar mummy Sebelum meletakkan gagang telefon.
            Perangai anak daranya yang sentiasa sibuk dalam membina kerjaya adakalanya memeningkan Zakiah sendiri. Hendak ditegur pun Zakiah masih bersyukur. Yalah, setidak-tidaknya, dia tahu anak daranya yang seorang itu bila sibuk dengan kerja sudah tiada masa untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat. Maklumlah, hidup di tengah kota yang besar ini. Penuh dengan daya tarikan. Penuh dengan penipuan. Kita jujur, orang lain tidak! Zakiah segera mengemaskan barangan untuk dibawanya ke majlis ulangtahun perkahwinan rakan baiknya itu.

Thursday, 1 September 2011

:: JIKA BENAR CINTA :: ~1


PAGI itu, Lisa benar-benar kelam-kabut. Jam yang sudah dikunci tidak berbunyi. Handset pula lupa dicas bateri. Mummy yang tiada di rumah kerana ada kenduri di rumah Auntie Zarina malam nanti juga merupakan antara punca, kenapa dia bangun lewat pada hari itu. Mak Jah pula pulang ke kampung menjenguk kakaknya yang sedang sakit. Abah juga tiada di rumah atas urusan kerja luarnya.
            Tergocoh-gocoh Lisa bila sedar-sedar, hari sudah terang-benderang. Melompat dia dari katil. Kalah Superman. Mujur ada baju yang tidak perlu digosok dalam almari. Jika tidak, haru juga dibuatnya.
            Tetapi, nasib memang tidak menyebelahinya hari ini. Tudung yang dipakai sejak tadi tidak menjadi. Gerak ke kanan, semakin senget. Gerak ke kiri, nampak herot. Astagfirullahalazim, Lisa cuba menenangkan diri. Kerja kalau dibuat tergesa-gesa, memang selalu tidak sempurna. Cepat-cepat Lisa mencapai pula tas tangannya dan sepatu yang bersesuaian warna. Kunci kereta diambil pantas.
            “Aduhai. Nasib, nasib!” getus hati Lisa. Mana tidaknya, keluar saja dari simpang rumahnya, kereta berderet-deret tersekat dalam kesesakan.bergerak seinci demi seinci saja rasanya.
            Inilah antara keindahan tinggal di Bandar raya Kuala Lumpur.kalau sehari tidak mengalami kesesakan lalu lintas, tidak lengkap rasanya hidup. Pagi jammed, petang jammed, malam pun jammed. Kalau bukan kemalangan, hari hujan. Kalau bukan hari hujan, ada pulak lah kenderaan yang rosak. Macam-macam ada! Teringat pula tagline iklan Astro yang cukup popular sehingga jadi ikutan anak-anak kecil. Pak Cik Abas pun turut popular walaupun sudah tua dimamah usia.
            Telefon meandering, menjeritlah nada ‘Where is the love?’ nyanyian Black Eyed Peas kedengaran.
            “Lisa, kau kat mana ni? Dah dekat pukul 9.00 pagi ni. Kau tak kerja ke? Kau tak ingat ke ada meeting hari ni?” Bertalu-talu soalan daripada Rina, rakan sepejabatnya.
            Di ruang fikiran Lisa, tergambar wajah kalut Rina. Pastinya dia sedang bercakap sambil memintal-mintal tali telefon.
            “Banyaknya soalan? Mana satu aku nak jawab ni?” Lisa menjawab sambil ketawa. Sambil berbual, matanya tidak lepas memandang ke hadapan. Takut juga kalau-kalau ada kereta yang disondolnya dalam kesesakan lalu lintas itu. Kelalaian sesaat boleh membawa penyesalan bertahun lamanya.
            “Jangan buat lawak, cepatlah sikit.semalam aku ajak tidur rumah aku, kau jual mahal. Kan hari ni dah lewat! Orang bagi nasihat tak nak dengar.” Rina membebel lagi. Lewat petang semalam, dia ada mempelawa rakannya itu bermalam di rumah sewanya. Namun, Lisa keberatan kerana tidak mahu menyusahkan diri.
            “Yalah, kau ingat aku ada magik, boleh hilangkan semua kereta yang ada di depan mata aku ni? Nanti aku sampailah. Cakap dengan Encik Ridwan, setahun ada 365 hari. Hari I aje aku lewat. Kau cakap kat dia lagi, semua data yang dia perlukan dah aku sediakan. Ada dalam fail atas meja dia.” balas Lisa semula.
            Jam di kereta sudah menunjukkan pukul 8.45 pagi. Jangan mimpilah hendak sampai tepat pada waktunya. Silap dia sendiri juga kerana balik lewat dari pejabat malam tadi. Kononnya, mahu membuat persiapan yang lengkap untuk mesyuarat pagi ini.
            “Amboi-amboi… mentang-mentanglah kau anak emas Encik Ridwan, kau ingat kau boleh terlepas la, ya!” sindir Rina sambil ketawa kecil.
            “Okeylah Rina, nanti tak pasal-pasal kau kena saman. Aku tak pakai hands-free ni. Aku try sampai secepat mungkin. Thanks.” Cepat-cepat Lisa mematikan talian. Rina yang dikenalinya sejak bekerja di Tuah Jaya Enterprise selama tiga tahun yang lalu, sememangnya tidak boleh dilayan lama-lama. Kalau bercakap, kalah bertih digoreng. Ideanya tidak pernah kering.
            ‘Hai, cepatlah sikit kereta di depan ni. Bawak Mercedes, tapi lambat macam bawak lori.’ Lisa membebel dalam hati.
            Kalau berada dalam kesesakan, siri bercakap dengan diri sendiri pasti bermula. Kadang-kadang, bila sudah puas membebel, marahkan kereta, motor, lori dan bas. Lisa sendiri yang ketawa sendirian. ‘Lagak macam orang sakit jiwa aje aku ni.’ Lisa berbicara lagi.
            Teringat kata kawannya, Min. Waktu jammed patutnya digunakan untuk menambah amal dan pahala. Bukannya menambah dosa. Basahkan lidah dengan kalimah memuji kebesaran-Nya, bukan membebel tidak tentu pasal. Marah tidak tentu hala. Sekurang-kurangnya masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya. Tersenyum Lisa bila mengingatkan teman baiknya sewaktu zaman persekolahan dulu.
            Sudah agak lama mereka berdua tidak berhubung. Min bertemu jodoh dengan orang Singapura, jarang-jarang mereka dapat bertemu. Maklumlah, orang sudah berumah tangga. Dunia pun sudah berubah. Kalau dulu cerita tentang lelaki idaman, sekarang cerita tentang anak. Dahulu, berebut memilih warna lipstick, sekarang ini sibuk memilih jenis lampin pakai buang mana yang paling bagus.
            ‘Hai, jauh pulak fikiran aku ni merayau.’ Lisa berbicara sendiri. ‘Untung nasib orang. Sekurang-kurangnya suami min sayangkan dia, manjakan dia. Tak macam aku. Ke kiri sendiri, ke kanan pulak sunyi.’ Akhirnya, Lisa tersenyum. Cepat-cepat dia melihat sekelilingnya. Mana tahu orang ingat dia sudah gila.

LISA sampai di pejabat hampir 10.00 pagi. Buka saja pintu, Rina sudah mengejar mendapatkannya. Mujur tangga pejabat dibuat dari simen dan bata. Kalau kayu boleh patah jawabnya melihatkan aksi Rina yang berkejaran menuruni tangga.
            “Rugi kau, Lisa! Handsomenya dia. Indah sungguh ciptaan ALLAH.” Rina memulakan bicara. Matanya ditutup rapat, kedua tangannya pula diletakkan di dada. Lisa tersenyum melihat tingkah rakan rapatnya itu yang bagai sudah gila mabuk kepayang.
            “Siapa yang handsome ni? Mamat dispatch yang hantar barang ke? Tak pun mamak tempat kau sarapan pagi tadi?” soal Lisa bersahaja. Beg tangannya diletakkan di atas meja manakala fail yang sedia ada di atas meja di alihkan ke tepi.
            “Kau ni, aku serius, kau pulak main-main.” Rina seakan merajuk. Berkerut dahinya, bibir pula dicebikkan. Geram pula melihat sikap Lisa yang acuh tidak acuh. Macam tidak ada hati dan perasaan langsung.
            “Yalah. Tiba-tiba di pagi yang kurang indah ni kau dah mabuk kepayang, risau jugak aku.” Lisa membalas dengan nada yang lembut. Cuba mengambil hati teman rapatnya itu. Bahu Rina dipeluknya erat.
            “Aku cerita tentang wakil dari syarikat Top Network yang meeting dengan Encik Ridwan tadi. Handsomenya. Tinggi lampai. Hitam manis. Baik pulak tu. Hampir-hampir aku jatuh cinta,” jelas Rina panjang lebar sambil tersengih-sengih.
            “Mana kau tahu dia baik? Sebab dia tak demam? Kenapa pulak hampir-hampir aje?” soal Lisa semula sambil ketawa kecil dan kembali menyelak plannernya.
“Yalah, nampak baik, sebab ramah orangnya. Tak sombong macam eksekutif-eksekutif yang lain. Hampir-hampir pulak sebab kan aku ni milik orang. Takkan nak curang pulak?” Rina membidas semula.
“Alhamdulillah, ingat jugak kau pada tuning kau, ya,” Lisa menadah tangan seperti berdoa dan meraupkan kedua-dua belah tapak tangannya ke muka.
“Apa? Kau ingat aku ni perempuan jahat!” Rina semakin geram melihatkan aksi Lisa yang acuh tidak acuh dengan apa yang diperkatakannya tadi.
Cepat-cepat Lisa menjawab. “Jahat tidak. Tapi nakal sangat. Tu yang tak tahan.”
Belum pun ketawa reda, Rina sudah menepuk dahinya.
“Kenapa pulak?” Tanya Lisa kehairanan.
Encik Ridwan suruh kau pergi bilik dia. Cerita punya cerita, lupa jadinya.” Jawab Rina sambil tersengih-sengih.

LISA bergegas ke tingkat atas untuk berjumpa Encik Ridwan. Berlari-lari anak dia menaiki tangga. ‘Orang tua-tua kata, sarang tebuan jangan dijolok. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Sebelum mood baik orang tua ni hilang, baik aku cepat-cepat jumpa dia,’ desis hati Lisa.
            “Masuk!” Suara garau Encik Ridwan kedengaran.
            “Happy morning Encik Ridwan. Anything that I can help?”
            “Hmm... duduk dulu Lisa. Meeting pagi tadi baru permulaan aje. There’s plenty of for discussion to ensure that the project is running smoothly. Saya mahu awak tumpukan perhatian dalam projek ini. Lebih daripada 100%. Kalau betul Berjaya, kita mendapat pulangan yang berlipat ganda. Saya percaya walaupun syarikat kita ini kecil, kita ada ruang untuk sama-sama bersaing dengan syarikat yang besar.” Encik Ridwan memulakan bicara.
            “Saya mahu awak menghubungi Encik Hazriq secepat mungkin. Hazriq, wakil bagi Top Network. He’s a very talented young man. Quite experienced in his field. Saya senang berurusan dengannya. Ini failnya. Sila buat susulan berkenaan tarikh pelan landskap. Semak jadual dan jangka masa pembayaran yang bersesuaian. Lisa, awak ada soalan?”
            “Buat masa ini, saya rasa everything’s clear. Saya akan buat susulan secepat mungkin.” balas Lisa. Tangannya laju membelek-blek fail di tangan.
            “Okey. Kalau tak ada apa-apa, you boleh beredar sekarang. Please call Hazriq dan lagi satu, dalam setahun Memang ada 365 hari, tapi tak semua hari dalam setahun itu, penting bagi saya. Please, do not be late again.” Tegas suara Encik Ridwan memberikan teguran.
            “Yes, boss. Mintak ampun. Patik tak buat lagi.” Jawab Lisa bersahaja sambil tersenyum manis.
            Walaupun Encik Ridwan tegas orangnya, beliau juga seorang yang bertimbang rasa dan amat memahami hati pekerja bawahannya. Selalu prihatin. Inilah antara sebab mengapa Lisa sayangkan kerjayanya sebagai Eksekutif Pembangunan Landskap di syarikat itu.
            Tersenyum Encik Ridwan mendengar jawapan Lisa. Lisa adalah antara pekerja yang disayanginya kerana tekun bekerja dan selalu Berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diserahkan kepadanya.
            Teringat lagi pada tanggapan awal terhadap Lisa waktu pertama kali menemu duganya dahulu. Cantik dan manis. Biasanya gadis cantik lebih banyak gaya daripada idea. Tetapi, Lisa telah berjaya membuktikan yang dia mempunyai kebijaksanaan yang tinggi. Kreatif dan tidak mudah mengalah. Selalu ceria walaupun dibebani oleh tugas yang bertimbun di atas mejanya.
            Peliknya, gadis semanis Lisa, khabarya masih tidak berpunya. Mungkin terlalu sibuk membina kerjaya sampai terlupa impian hendak berkeluarga.
            ‘Mungkin salah aku jugak, 90% daripada masanya dihabiskan di syarikat ini. Kalau ada projek, sampai ke lewat malamlah Lisa berumah tangga di pejabat.’ Hati Encik Ridwan berbicara. Komitmen yang ditunjukkan oleh Lisa memang amat disenangi oleh Encik Ridwan.

~ PROLOG :: JIKA BENAR CINTA ::


DIA sukar untuk menyatakan cinta. Seolah-olah ucapan keramat itu, bila diucapkan, bakal menjadi beban. Bakal menjerut batang lehernya sendiri. Pengalaman lalu yang pahitnya masih lagi terasa juga menjadi punca mengapa dia menjauhkan diri daripada didekati cinta. Kalau boleh, dia mahu terus hidup sendiri. Tidak mahu berlindung di bawah payung hati lelaki yang teduhnya mungkin sementara sahaja.
            Namun, sejak terpandang senyuman manis Airy, hatinya bermukim di laman rindu. Ada debar membara di dada.dia sendiri tidak mengerti, entah hantu mana yang sudah menyampuk dirinya. Siang terpandang, malam terbayang. Asyik terkenang-kenang.
            Sanggupkah dia menjadikan kebahagiaan hatinya satu taruhan lagi? Dia sendiri tidak pasti. Mampukah dia bertahan jika sekali lagi hatinya dilukai? Dia tidak tahu. Menyemai kasih tanpa benih di ladang dan tidak bertanah umpama mencari air yang tidak bergaram di tengah lautan. Bukan sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan keajaiban.
            Gila. Memang betul, cinta membuatkan manusia jadi gila. Jatuh cinta umpama jiwa yang dimahkotakan. Semuanya indah-indah belaka. Jatuh cinta juga ibarat ditiup semangat satria muda. Sang Pencinta rela berkorban demi yang tercinta, malah sanggup berjuang memerdekakan gelora jiwa. Semuanya bermula dengan senyuman di petang sabtu itu.