PAGI itu, Lisa benar-benar kelam-kabut. Jam yang sudah dikunci tidak berbunyi. Handset pula lupa dicas bateri. Mummy yang tiada di rumah kerana ada kenduri di rumah Auntie Zarina malam nanti juga merupakan antara punca, kenapa dia bangun lewat pada hari itu. Mak Jah pula pulang ke kampung menjenguk kakaknya yang sedang sakit. Abah juga tiada di rumah atas urusan kerja luarnya.
Tergocoh-gocoh Lisa bila sedar-sedar, hari sudah terang-benderang. Melompat dia dari katil. Kalah Superman. Mujur ada baju yang tidak perlu digosok dalam almari. Jika tidak, haru juga dibuatnya.
Tetapi, nasib memang tidak menyebelahinya hari ini. Tudung yang dipakai sejak tadi tidak menjadi. Gerak ke kanan, semakin senget. Gerak ke kiri, nampak herot. Astagfirullahalazim, Lisa cuba menenangkan diri. Kerja kalau dibuat tergesa-gesa, memang selalu tidak sempurna. Cepat-cepat Lisa mencapai pula tas tangannya dan sepatu yang bersesuaian warna. Kunci kereta diambil pantas.
“Aduhai. Nasib, nasib!” getus hati Lisa. Mana tidaknya, keluar saja dari simpang rumahnya, kereta berderet-deret tersekat dalam kesesakan.bergerak seinci demi seinci saja rasanya.
Inilah antara keindahan tinggal di Bandar raya Kuala Lumpur.kalau sehari tidak mengalami kesesakan lalu lintas, tidak lengkap rasanya hidup. Pagi jammed, petang jammed, malam pun jammed. Kalau bukan kemalangan, hari hujan. Kalau bukan hari hujan, ada pulak lah kenderaan yang rosak. Macam-macam ada! Teringat pula tagline iklan Astro yang cukup popular sehingga jadi ikutan anak-anak kecil. Pak Cik Abas pun turut popular walaupun sudah tua dimamah usia.
Telefon meandering, menjeritlah nada ‘Where is the love?’ nyanyian Black Eyed Peas kedengaran.
“Lisa, kau kat mana ni? Dah dekat pukul 9.00 pagi ni. Kau tak kerja ke? Kau tak ingat ke ada meeting hari ni?” Bertalu-talu soalan daripada Rina, rakan sepejabatnya.
Di ruang fikiran Lisa, tergambar wajah kalut Rina. Pastinya dia sedang bercakap sambil memintal-mintal tali telefon.
“Banyaknya soalan? Mana satu aku nak jawab ni?” Lisa menjawab sambil ketawa. Sambil berbual, matanya tidak lepas memandang ke hadapan. Takut juga kalau-kalau ada kereta yang disondolnya dalam kesesakan lalu lintas itu. Kelalaian sesaat boleh membawa penyesalan bertahun lamanya.
“Jangan buat lawak, cepatlah sikit.semalam aku ajak tidur rumah aku, kau jual mahal. Kan hari ni dah lewat! Orang bagi nasihat tak nak dengar.” Rina membebel lagi. Lewat petang semalam, dia ada mempelawa rakannya itu bermalam di rumah sewanya. Namun, Lisa keberatan kerana tidak mahu menyusahkan diri.
“Yalah, kau ingat aku ada magik, boleh hilangkan semua kereta yang ada di depan mata aku ni? Nanti aku sampailah. Cakap dengan Encik Ridwan, setahun ada 365 hari. Hari I aje aku lewat. Kau cakap kat dia lagi, semua data yang dia perlukan dah aku sediakan. Ada dalam fail atas meja dia.” balas Lisa semula.
Jam di kereta sudah menunjukkan pukul 8.45 pagi. Jangan mimpilah hendak sampai tepat pada waktunya. Silap dia sendiri juga kerana balik lewat dari pejabat malam tadi. Kononnya, mahu membuat persiapan yang lengkap untuk mesyuarat pagi ini.
“Amboi-amboi… mentang-mentanglah kau anak emas Encik Ridwan, kau ingat kau boleh terlepas la, ya!” sindir Rina sambil ketawa kecil.
“Okeylah Rina, nanti tak pasal-pasal kau kena saman. Aku tak pakai hands-free ni. Aku try sampai secepat mungkin. Thanks.” Cepat-cepat Lisa mematikan talian. Rina yang dikenalinya sejak bekerja di Tuah Jaya Enterprise selama tiga tahun yang lalu, sememangnya tidak boleh dilayan lama-lama. Kalau bercakap, kalah bertih digoreng. Ideanya tidak pernah kering.
‘Hai, cepatlah sikit kereta di depan ni. Bawak Mercedes, tapi lambat macam bawak lori.’ Lisa membebel dalam hati.
Kalau berada dalam kesesakan, siri bercakap dengan diri sendiri pasti bermula. Kadang-kadang, bila sudah puas membebel, marahkan kereta, motor, lori dan bas. Lisa sendiri yang ketawa sendirian. ‘Lagak macam orang sakit jiwa aje aku ni.’ Lisa berbicara lagi.
Teringat kata kawannya, Min. Waktu jammed patutnya digunakan untuk menambah amal dan pahala. Bukannya menambah dosa. Basahkan lidah dengan kalimah memuji kebesaran-Nya, bukan membebel tidak tentu pasal. Marah tidak tentu hala. Sekurang-kurangnya masa yang ada dimanfaatkan sepenuhnya. Tersenyum Lisa bila mengingatkan teman baiknya sewaktu zaman persekolahan dulu.
Sudah agak lama mereka berdua tidak berhubung. Min bertemu jodoh dengan orang Singapura, jarang-jarang mereka dapat bertemu. Maklumlah, orang sudah berumah tangga. Dunia pun sudah berubah. Kalau dulu cerita tentang lelaki idaman, sekarang cerita tentang anak. Dahulu, berebut memilih warna lipstick, sekarang ini sibuk memilih jenis lampin pakai buang mana yang paling bagus.
‘Hai, jauh pulak fikiran aku ni merayau.’ Lisa berbicara sendiri. ‘Untung nasib orang. Sekurang-kurangnya suami min sayangkan dia, manjakan dia. Tak macam aku. Ke kiri sendiri, ke kanan pulak sunyi.’ Akhirnya, Lisa tersenyum. Cepat-cepat dia melihat sekelilingnya. Mana tahu orang ingat dia sudah gila.
LISA sampai di pejabat hampir 10.00 pagi. Buka saja pintu, Rina sudah mengejar mendapatkannya. Mujur tangga pejabat dibuat dari simen dan bata. Kalau kayu boleh patah jawabnya melihatkan aksi Rina yang berkejaran menuruni tangga.
“Rugi kau, Lisa! Handsomenya dia. Indah sungguh ciptaan ALLAH.” Rina memulakan bicara. Matanya ditutup rapat, kedua tangannya pula diletakkan di dada. Lisa tersenyum melihat tingkah rakan rapatnya itu yang bagai sudah gila mabuk kepayang.
“Siapa yang handsome ni? Mamat dispatch yang hantar barang ke? Tak pun mamak tempat kau sarapan pagi tadi?” soal Lisa bersahaja. Beg tangannya diletakkan di atas meja manakala fail yang sedia ada di atas meja di alihkan ke tepi.
“Kau ni, aku serius, kau pulak main-main.” Rina seakan merajuk. Berkerut dahinya, bibir pula dicebikkan. Geram pula melihat sikap Lisa yang acuh tidak acuh. Macam tidak ada hati dan perasaan langsung.
“Yalah. Tiba-tiba di pagi yang kurang indah ni kau dah mabuk kepayang, risau jugak aku.” Lisa membalas dengan nada yang lembut. Cuba mengambil hati teman rapatnya itu. Bahu Rina dipeluknya erat.
“Aku cerita tentang wakil dari syarikat Top Network yang meeting dengan Encik Ridwan tadi. Handsomenya. Tinggi lampai. Hitam manis. Baik pulak tu. Hampir-hampir aku jatuh cinta,” jelas Rina panjang lebar sambil tersengih-sengih.
“Mana kau tahu dia baik? Sebab dia tak demam? Kenapa pulak hampir-hampir aje?” soal Lisa semula sambil ketawa kecil dan kembali menyelak plannernya.
“Yalah, nampak baik, sebab ramah orangnya. Tak sombong macam eksekutif-eksekutif yang lain. Hampir-hampir pulak sebab kan aku ni milik orang. Takkan nak curang pulak?” Rina membidas semula.
“Alhamdulillah, ingat jugak kau pada tuning kau, ya,” Lisa menadah tangan seperti berdoa dan meraupkan kedua-dua belah tapak tangannya ke muka.
“Apa? Kau ingat aku ni perempuan jahat!” Rina semakin geram melihatkan aksi Lisa yang acuh tidak acuh dengan apa yang diperkatakannya tadi.
Cepat-cepat Lisa menjawab. “Jahat tidak. Tapi nakal sangat. Tu yang tak tahan.”
Belum pun ketawa reda, Rina sudah menepuk dahinya.
“Kenapa pulak?” Tanya Lisa kehairanan.
Encik Ridwan suruh kau pergi bilik dia. Cerita punya cerita, lupa jadinya.” Jawab Rina sambil tersengih-sengih.
LISA bergegas ke tingkat atas untuk berjumpa Encik Ridwan. Berlari-lari anak dia menaiki tangga. ‘Orang tua-tua kata, sarang tebuan jangan dijolok. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Sebelum mood baik orang tua ni hilang, baik aku cepat-cepat jumpa dia,’ desis hati Lisa.
“Masuk!” Suara garau Encik Ridwan kedengaran.
“Happy morning Encik Ridwan. Anything that I can help?”
“Hmm... duduk dulu Lisa. Meeting pagi tadi baru permulaan aje. There’s plenty of for discussion to ensure that the project is running smoothly. Saya mahu awak tumpukan perhatian dalam projek ini. Lebih daripada 100%. Kalau betul Berjaya, kita mendapat pulangan yang berlipat ganda. Saya percaya walaupun syarikat kita ini kecil, kita ada ruang untuk sama-sama bersaing dengan syarikat yang besar.” Encik Ridwan memulakan bicara.
“Saya mahu awak menghubungi Encik Hazriq secepat mungkin. Hazriq, wakil bagi Top Network. He’s a very talented young man. Quite experienced in his field. Saya senang berurusan dengannya. Ini failnya. Sila buat susulan berkenaan tarikh pelan landskap. Semak jadual dan jangka masa pembayaran yang bersesuaian. Lisa, awak ada soalan?”
“Buat masa ini, saya rasa everything’s clear. Saya akan buat susulan secepat mungkin.” balas Lisa. Tangannya laju membelek-blek fail di tangan.
“Okey. Kalau tak ada apa-apa, you boleh beredar sekarang. Please call Hazriq dan lagi satu, dalam setahun Memang ada 365 hari, tapi tak semua hari dalam setahun itu, penting bagi saya. Please, do not be late again.” Tegas suara Encik Ridwan memberikan teguran.
“Yes, boss. Mintak ampun. Patik tak buat lagi.” Jawab Lisa bersahaja sambil tersenyum manis.
Walaupun Encik Ridwan tegas orangnya, beliau juga seorang yang bertimbang rasa dan amat memahami hati pekerja bawahannya. Selalu prihatin. Inilah antara sebab mengapa Lisa sayangkan kerjayanya sebagai Eksekutif Pembangunan Landskap di syarikat itu.
Tersenyum Encik Ridwan mendengar jawapan Lisa. Lisa adalah antara pekerja yang disayanginya kerana tekun bekerja dan selalu Berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diserahkan kepadanya.
Teringat lagi pada tanggapan awal terhadap Lisa waktu pertama kali menemu duganya dahulu. Cantik dan manis. Biasanya gadis cantik lebih banyak gaya daripada idea. Tetapi, Lisa telah berjaya membuktikan yang dia mempunyai kebijaksanaan yang tinggi. Kreatif dan tidak mudah mengalah. Selalu ceria walaupun dibebani oleh tugas yang bertimbun di atas mejanya.
Peliknya, gadis semanis Lisa, khabarya masih tidak berpunya. Mungkin terlalu sibuk membina kerjaya sampai terlupa impian hendak berkeluarga.
‘Mungkin salah aku jugak, 90% daripada masanya dihabiskan di syarikat ini. Kalau ada projek, sampai ke lewat malamlah Lisa berumah tangga di pejabat.’ Hati Encik Ridwan berbicara. Komitmen yang ditunjukkan oleh Lisa memang amat disenangi oleh Encik Ridwan.
No comments:
Post a Comment